Saturday, January 4, 2014

Perang Mu'tah


Assalamualaikum.. tiba2 malam ni rajin la pulak nak update blog..hehe.. sekadar perkongsian.. Maklumlah belajar kat Mutah Jordan tapi tau tahu kisah sejarahnya.. rugi la..


Ni gambar yang sempat aku snap semasa dalam perjalanan ke jamiah sambil berjalan kaki. 

Perang Mu'tah atau dikenali dengan mu'rakah Mu'tah..

Mu'rakah Mu’tah berlaku pada Jamadil Awal, tahun ke-8 hijrah. Mu’tah merupakan sebuah kampung di pinggir Syam. Sekarang ia dinamakan dengan al-Karak. Letaknya di tenggara Laut Mati.

Sebab peperangan ini; Rasul s.a.w. telah mengutus al-Harith bin Umair al-Azdi.Beliau membawa sepucuk surat kepada al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, Raja Basrah yang menjadi wakil Herkules. Dalam surat itu, Baginda s.a.w. mengajaknya kepada Islam (ia merupakan antara surat yang diutuskan oleh Baginda s.a.w. kepada maharaja-maharaja dunia dan raja-raja Arab. Perutusan ini dilakukan selepas perdamaian Hudaibiyyah). Apabila utusan Baginda tiba di Mu’tah, salah seorang raja Arab Ghassan yang tunduk kepada Caesar Rom bertanya kepadanya: “Kamu mahu pergi ke mana? Boleh jadi kamu salah seorang utusan Muhammad?” Lantas utusan Baginda s.a.w. menjawab: “Ya.” Lalu raja tersebut mengikat dan memenggal lehernya.

Berita pembunuhan tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda merasa amat sedih kerana tiada utusan Baginda yang dibunuh selain daripada beliau. Baginda mempersiapkan satu angkatan tentera Islam seramai 3,000 orang. Baginda melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima mereka. Baginda berpesan, sekiranya Zaid mati syahid, mereka hendaklah melantik Jaafar bin Abi Tolib (sebagai penggantinya). Sekiranya Jaafar pula mati syahid, mereka hendaklah melantik Abdullah bin Rawwahah (sebagai pengganti seterusnya).Baginda mengarahkan Zaid mara ke tempat pembunuhan al-Harith bin Umair (di Mu’tah) dan menyeru penduduk di sana kepada Islam. Sekiranya mereka menolak seruan tersebut,tentera Islam hendaklah memohon pertolongan Allah dan memerangi mereka. Baginda berpesan kepada mereka dengan sabdanya:

“Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik kepada orang Islam yang bersama kamu. Perangilah sesiapa yang kufur kepada Allah dengan nama dan demi jalan Allah. Jangan kamu belot (jika diadakan perjanjian) atau mencuri rampasan perang (sebelum diagihagihkan).Jangan kamu membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua yang tak berdaya dan pendita yang memencilkan diri digereja. Jangan kamu memusnahkan pokok kurma, memotong pokok atau meruntuhkan binaan.”

Kemudian angkatan tentera Islam berangkat dengan mengharapkan keberkatan Allah.Rasul s.a.w. sendiri telah menghantar mereka berlepas (dari Madinah). Mereka terus berjalan sehingga sampai ke Ma’an( Sebahagian ulama memanggilnya Mu’an).Di sana, mereka mendapat berita bahawa Herkules telah menghimpunkan satu angkatan tentera yang besar. Angkatan tersebut telah berpengkalan di Maab, salah sebuah kampung al-Balqak (kawasan perkampungan yang dibangunkan oleh Damsyik. Kotanya dikenali dengan Amman). Mereka terdiri daripada bangsa Rom dan Arab yang menganut agama Nasrani. Bkoran itu, orang Islam telah bermesyuarat sesama mereka.Mereka berpandangan untuk meminta bantuan daripada Rasulullah s.a.w. atau Baginda memberi arahan lain untuk mereka lakukan. Namun Abdullah bin Rawwahah membangkang seraya berkata: “Demi Allah, peperangan yang kamu benci ini merupakan tujuan sebenar kamu keluar. Kamu mengejar mati syahid. Kita tidak memerangi manusia berdasarkan bilangan, kuantiti yang ramai mahupun kekuatan. Kita memerangi mereka hanya berbekalkan agama yang Allah muliakan kita dengannya. Sesungguhnya kesudahan perang ini hanya salah satu daripada dua kebaikan: sama ada kemenangan ataupun mati syahid.”

Oleh itu, orang ramai bersetuju dengan beliau untuk memasuki kancah pertempuran.

Seterusnya, peperangan bermula. Zaid telah berperang sehingga syahid. Kemudian Jaafar bin Abi Tolib menerima panji-panji angkatan tentera Islam menggantikan beliau.Jaafar pada mulanya berperang di atas kudanya kemudian terpaksa turun dan berperang dengan berjalan kaki. Tangan kanannya telah terpotong, lantas dia memegang panji-panji Islam dengan tangan kirinya. Kemudiannya tangan kirinya pula terpotong. Lalu dia memeluk panji-panji itu sehingga akhirnya beliau r.a. turut syahid.Pada mayat beliau, terdapat lebih daripada 70 kesan luka antara tetakan pedang ataupun tikaman lembing. Kemudian Abdullah bin Rawwahah mengambil panji-panji tersebut dan berperang sehingga dia turut syahid.

Setelah itu orang Islam bersepakat melantik Khalid bin al-Walid sebagai panglima tentera(ini adalah peperangan pertama yang beliau sertai setelah memeluk Islam). Beliau menggunakan kelicikan perangnya sehingga berjaya menyelamatkan angkatan tentera Islam daripada binasa. Dia pulang bersama-sama angkatan tentera Islam itu ke Madinah.

Pertempuran ini merupakan pertempuran pertama yang dilalui oleh orang Islam diluar semenanjung-tanah Arab untuk melawan Rom.Rasulullah s.a.w. telah menggelarkan Khalid bin al-Walid dalam peperangan ini dengan gelaran “Saifullah” (Pedang Allah).

Tambahan:

Perang Mu’tah (bahasa Arab: معركة مؤتة , غزوة مؤتة) berlaku pada sekitar tahun 629M ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.

Tujuan baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom.

Ketika ini, baginda melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, Ja’afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja’afar sekiranya Ja’afar terkorban.

Pertempuran berlaku di Karak di mana pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu.

Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom.

Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.

Selepas ini, Khalid bertindak cemerlang dalam memimpin tentera Islam dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi dan di dalam Peperangan Islam-Rom Byzantine.

Sekian Wallahu’alam….

p/s: Tentang bilangan tentera Islam dan Rom ada khilaf,ada yang mengatakan tentera rom seramai 100 ribu dan pendapat yang kuat mengatakan 200 ribu (petikan seorang ustaz duktur ahmad/qisim adab dan sastera disalah sebuah university di Jordan)
Moga menjadi pembakar semangat buat kita belajar.

[ cOpy+paste ]

No comments:

Post a Comment