Saturday, January 4, 2014

Kisah Pakcik Jual Laksa Beras

Bismillah...

Sedang keboringan tiba2 aku terjumpa kisah ini di facebook ustazah aku. Kisah Pakcik Jual Laksa Beras. Tengok tajuk je aku terus terbayang laksa kat malaysia nun.. aduhh!! Lapar rasenye.. Kat sini memang tak dapek la.. Kalau buat sendiri pun tak sama rasa macam kat malaysia..

Jadi aku pun copy+paste la.. saja nak kongsi bersama.. Kisahnya macam ni....

Suatu hari sedang saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual laksa beras, menaiki motorsikal mengelilingi kampung. Oleh kerana matahari telah makin merendah selepas asar, saya pun berhenti rehat. Apabila nampak penjual laksa beras lalu, saya pun memanggil untuk merasa laksa berasnya. Baru kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah ke kampung ini, bertugas sebagai inspektor menjaga parit dan saliran.

Saya melaung bertanya kepada isteri dan anak-anak, adakah mereka juga turut ingin makan laksa beras. Isteri dan anak-anak 4 orang juga inginkan laksa beras. Bermakna saya pesan 6 pinggan laksa beras. Dengan menggunakan ukuran mangkuk standardnya laksa dihidang dalam mangkuknya dahulu sebelum dituang ke pinggan yang pelanggan sediakan.

Zaman ini, kebanyakan penjual laksa beras bermotorsikal tidak perlu bawa banyak mangkuk atau plastik bungkus. Cukup sebuah mangkuk yang dibawanya untuk jadi ukuran yang sama setiap pinggan yang dipesan pelanggan. Semua yang membeli laksa beras perlu membawa pinggan atau mangkuk sendiri ke motor pakcik jual laksa itu berhenti.

Setelah membeli laksa beras, pelanggan akan makan di dalam rumah masing-masing bersama keluarga. Cara ini telah menyelamatkan alam sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau pembaziran bekas.

Setelah membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya melihat penjual itu membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu di bahagi 3, 1/3 ke dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke dalam bekas seperti tabung.
Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa duit-duit itu diasingkan. Maka terus saya bertanya, “Pak cik kenapa pakcik asing-asingkan duit tersebut?”

Pakcik itu pun menjawab, "Duit yang masuk dompet digunakan untuk perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung untuk simpanan penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak.

Dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang lain juga. Walaupun sikit, kita wajar berbagi sama. Saya menggilirkan wang itu antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk rumah anak yatim juga. Selama lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari berbasikal, sekarang sudah bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan ibadah korban walaupun cuma 1 ekor kambing yang sederhana besar. Alhamdullilah, saranan agama, walaupun sunat, ia dapat dilakukan. Setiap hari saya mula berniaga dari pukul 11.00 pagi. Apabila tiba di mana-mana kampung, menjelang waktu solat sama ada zohor atau asar, saya akan berhenti untuk solat berjemaah di mana-mana surau kampung berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit hasil jualan laksa beras ini walaupun sedikit.

Walaupun cuma menjual laksa beras, saya tetap dapat mengerjakan solat di awal waktu secara berjemaah. Dapat menginfak wang hasil jualan laksa beras untuk dikongsi dengan orang lain. Saya suka berniaga mengelilingi kampung dan berhenti solat di mana-mana surau atau masjid yang ditemui menjelang waktu solat. Saya pernah dengar tuan guru kata, nanti di mahkamah akhirat, bumi dan hari akan menjadi saksi. Maka nanti bumi akan berkata, si polan pernah solat di sini, di sini, di sini. Hari Isnin sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si polan solat di surau ini.Dan seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang banyak untuk melaksanakan zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut rezeki yang Allah berikan kepada saya setiap hari.

Duit dalam tabung pula sebagai simpanan untuk menyempurnakan rukun Islam. Islam terdiri dari 5 rukun, mengerjakan haji adalah rukun ke 5. Adakah solat itu sempurna jika rukunnya tidak sempurna? Saya merasakan islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya saya tidak sempurnakan. Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam ke 5 iaiatu mengerjakan haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat mengerjakan haji kerana ia memerlukan biaya yang besar."

Terpegun saya dengan jawapan yang diberikan oleh seorang penjual laksa beras ini. Seorang penjual laksa beras, mempunyai misi dan visi yang jelas sebagai seorang islam.

“Pakcik, bukankah mengerjakan haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak dituntut untuk mengerjakannya.”

“Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha menuju ke arah mampu. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu mengerjakan haji suatu hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah selamanya kamu mahu hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan menabung sedikit-sedikit mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?”

MasyaAllah, begitu jelas sekali fikirannya tentang maksud mampu. Tersentap hingga hujung hati bila membanding diri ini dengan pakcik yang hanya menjual laksa beras bermotosikal menggelilingi kampung. Muka saya bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi tidak beramal.

Siapa yang sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran pakcik dalam melaksanakan syariat agama Islam ini.

Kisah ini saya abadikan bagi mengingatkan keenakan laksa beras yang selalu saya beli dari seorang penjual laksa beras yang bermotosikal mengelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik ini masih hidup atau telah meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.
Sama-samalah kita mengambil iktibar darinya untuk kebaikan diri kita sendiri.


[ copy+paste ]

Lihatlah.. walaupun bukan orang yang berada, pakcik ini tetap berusaha untuk mampu ke Tanah Suci.. Allahu.. Dapat melakukan ibadah korban setiap tahun lagi..

Usaha..!! ya.. semua itu perlu usaha. Tanpa usaha tidak kemana. Permudahkan urusanku Ya Allah.. ameen.

No comments:

Post a Comment